Perhilitan pindahkan dua ekor gajah betina di Kluang
Bernama
Oktober 17, 2019 22:19 MYT
Oktober 17, 2019 22:19 MYT
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor memindahkan dua ekor gajah betina liar semalam, yang ditangkap pada Sabtu lepas di Hutan Simpan Kluang, di sini.
Pengarah Perhilitan Johor Salman Saaban berkata operasi pemindahan berkenaan dimulakan pada 8.30 pagi dengan melibatkan 23 kakitangan Jabatan Perhilitan Johor dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang.
"Proses pemindahan turut dibantu dua ekor gajah denak PKGK Kuala Gandah, Abot dan Rambai.
"Proses menarik gajah betina liar pertama ke dalam lori dimulakan pada 10.30 pagi dan siap sepenuhnya 45 minit kemudian manakala gajah betina liar kedua pula pada 11.50 pagi dan tamat pada 1 tengah hari," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Salman berkata dua ekor gajah liar betina berkenaan bersaiz tapak kaki hadapan 25.4 sentimeter yang dianggarkan berumur antara lima dan enam tahun dalam keadaan sihat dan aktif.
Beliau berkata kedua-dua ekor gajah liar tersebut merupakan sebahagian daripada kumpulan gajah ID Tenggara yang menimbulkan konflik di sekitar Kluang terutama kawasan Kampung (Kg) Ilham, Kg Sri Timur, Kg Hj Shaari, Taman Sri Impian, Felda Kahang Timur, Felda Kahang Barat, Felda Ulu Dengar serta kawasan sekitar lokasi berkenaan.
-- BERNAMA
#Abot
#dua ekor gajah
#gajah betina liar
#Hutan Simpan Kluang
#Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara
#Kuala Gandah
#Perhilitan
#Perhilitan Johor
#PKGK Kuala Gandah
#Rambai