Perhilitan Perak rampas 18 burung pelbagai spesies bernilai RM65,000
Aida Aziz
April 1, 2021 18:48 MYT
April 1, 2021 18:48 MYT
IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak merampas 18 burung pelbagai spesies tempatan dan luar negara bernilai RM65,000, di sebuah rumah di Lebuh Shatin, Taman Shatin di sini, semalam.
Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, hasil pemeriksaan oleh penguatkuasa ke atas rumah seorang lelaki berusia 27 tahun pada jam 1.15 petang menjumpai pelbagai spesies hidupan liar, termasuk spesies dilindungi.
"Hasil pemeriksaan di rumah itu menemui 18 burung bersama tujuh sangkar membabitkan jenis Blue dan Gold Macaw, Tiong Mas, Sun Conure, Sulfur Cockatoo, African Grey, Fischer's Love Bird, Murai Batu dan Green Winged Macaw.
"Kebanyakan spesies dari luar negara adalah iaitu Afrika dan Australia dengan spesies paling mahal adalah jenis Blue dan Gold Macau bernilai kira-kira RM5,000," katanya pada sidang media di Pejabat PERHILITAN negeri di Bangunan Persekutuan di sini pada Khamis.
Tambahnya, hasil soal siasatan dan pemeriksaan mendapati lelaki tempatan itu gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah bagi menyimpan hidupan liar berkenaan.
"Lelaki berkenaan ditangkap kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) iaitu menyimpan hidupan liar tanpa kebenaran yang sah daripada Jabatan Perhilitan.
"Susulan itu lelaki berkenaan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan laporan polis dibuat di Balai Polis Pasir Puteh sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.
"Lelaki tersebut kemudian dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 5 petang," ujarnya.
Jelasnya, kesemua burung dipercayai untuk dijual dan aktiviti itu sudah berjalan sejak kira-kira enam tahun lalu.
Katanya, kes ini disiasat dibawah Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana menyimpan hidupan yang dilindungi tanpa lesen yang boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
#Perhilitan Perak
#Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara
#rampas
#burung
#pelbagai spesies
#Lebuh Shatin
#Yusoff Shariff