Perhilitan Perak kesan taktik baru seludup hidupan liar

Astro Awani
September 19, 2014 19:31 MYT
Perhilitan Perak kesan taktik baru seludup hidupan liar. -Gambar fail
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Perak berjaya menumpaskan satu sindiket memperdagangkan hidupan liar yang cuba mengabui pihak berkuasa dengan menggunakan bungkusan pos tertera ucapan 'Selamat Hari Jadi'.
Pengarahnya, Fakhrul Hatta Musa berkata, bungkusan pos `hari jadi' itu yang dikirim dari Taiwan dirampas di Pejabat Pos Besar Ipoh pada jam 10.30 pagi Jumaat setelah dikesan mengandungi 12 ekor katak, seekor ular kapak sepanjang lebih satu meter dan beberapa ekor serangga.
"Jadi pihak yang tidak bertanggungjawab ini telah melakukan strategi di mana cuba mengabui pihak berkuasa dengan menggunakan bungkusan tertera ucapan 'Selamat hari Jadi'.
"Setelah dikesan isi kandungannya, kami berjaya merampas bungkusan tersebut," katanya kepada media di pejabatnya di sini hari ini.
Bagaimanapun, kata Fakhrul, pihaknya masih belum membuat sebarang tangkapan dan sedang mengesan pengirim serta penerima kotak berkenaan.
Jelasnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 10 Akta Perdagangan Antarabangsa Spesis Terancam dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000.
Katanya, pihaknya percaya bungkusan yang mengandungi hidupan liar itu cuba diseludup masuk ke negeri ini untuk tujuan perdagangan haram.
#hari #jadi #katak #Perak #Perhilitan #POS #serangga #ular
;