Perhilitan pasang perangkap kamera kesan beruang, harimau di Kampung Bukit Merbau
Bernama
Jun 29, 2021 11:58 MYT
Jun 29, 2021 11:58 MYT
PASIR PUTEH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan memasang enam perangkap kamera bagi mengesan kehadiran haiwan liar termasuk beruang dan harimau di beberapa lokasi sekitar Kampung Bukit Merbau di sini.
Pengarah Perhilitan Kelantan Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, langkah itu susulan aduan penduduk kampung terhadap kehadiran haiwan liar berkenaan yang pernah dikesan di kawasan itu yang terletak berhampiran Hutan Simpan Kekal (HSK) Chabang Tongkat.
Beliau berkata, pihaknya mengambil serius aduan penduduk kampung namun siasatan dibuat terlebih dahulu untuk mengetahui punca sama ada hidupan liar itu akan menyebabkan konflik atau hanya menggunakan hutan tersebut sebagai koridor pergerakan.
"Setakat ini pihak Perhilitan telah memasang enam perangkap kamera di kawasan tersebut bagi mengesan kehadiran hidupan liar sama ada bagi tujuan mitigasi ataupun penyelidikan dan mengumpulan data.
"Hutan di kawasan tersebut adalah Hutan Simpan Chabang Tongkat, salah satu hutan perlindungan dalam Rangkaian Ekologi CFS (Central Forest Spine) iaitu jaringan hutan yang berfungsi sebagai habitat dan pergerakan hidupan liar," katanya di sini hari ini.
Ady Ermanty Haniff berkata, biarpun haiwan itu tidak mengancam nyawa dan hanya melalui kawasan terbabit, Perhilitan menasihati penduduk supaya melaporkan kepada jabatan agar siasatan lanjut dapat dibuat bagi memastikan keselamatan kedua-dua pihak.
Sementara itu, seorang penduduk kampung, Nazmi Mustafa, 52, berkata mereka yang sebelum ini diburu kebimbangan dengan kehadiran haiwan liar itu kini berasa lega susulan langkah yang diambil Perhilitan itu.
"Sekarang ini musim buah-buahan dan sudah pasti banyak haiwan liar akan berkeliaran di kawasan kebun, kampung ini pula terletak berhampiran dengan kawasan hutan yang berbukit dan sudah pasti haiwan dari situ akan datang mencari makanan. Lega apabila anggota Perhilitan segera hadir membuat pemantauan selepas menerima aduan," katanya.
Seorang lagi penduduk, Muhamad Isma Alif Ibrahim, 30, pula berkata kebun milik penduduk kampung kebanyakannya dipenuhi semak samun berikutan mereka sukar untuk membersihkan kawasan kerana takut kehadiran haiwan berkenaan.
"Harapan kami dengan pemantauan kerap yang dibuat oleh anggota Perhilitan, penduduk kini tidak lagi berasa bimbang untuk ke kebun.
"Sekarang musim buah-buahan seperti durian, manggis, rambutan serta dokong. Jika adanya pihak jabatan menjalankan pemantauan sudah pasti hasil kebun tidak dirosakkan," katanya.
-- BERNAMA
#Perhilitan
#haiwan liar
#hidupan liar
#beruang
#harimau
#kampung bukit merbau
#perangkap kamera
#orang kampung