Perhilitan Negeri Sembilan tangkap tapir seberat 450 kilogram
Bernama
Mac 18, 2021 12:06 MYT
Mac 18, 2021 12:06 MYT
SEREMBAN: Seekor tapir Malaya betina seberat 450 kilogram ditangkap sepasukan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan selepas memasuki perangkap yang dipasang di Ladang Johol, Johol, Kuala Pilah, semalam.
Pengarah Perhilitan Wan Mat Wan Harun berkata, perangkap tersebut telah dipasang sejak 24 November tahun lepas, susulan aduan daripada kakitangan ladang tersebut mengenai tapir itu yang sering berkeliaran di ladang mereka sejak tahun lepas.
"Tapir berkenaan memasuki perangkap pada 8.30 pagi semalam (Rabu).
"Sebaik menerima maklumat itu tujuh anggota Perhilitan Negeri Sembilan dihantar ke ladang berkenaan untuk memeriksa perangkap tersebut. Kami dapati tapir itu berada dalam keadaan sihat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Katanya pada tahun ini, pihaknya hanya dapat menyelamatkan seekor tapir Malaya (Tapirus Indicus) betina daripada diancam kepupusan.
"Tapir ini akan diberi rawatan oleh pegawai veterinar Jabatan Perhilitan terlebih dahulu dan dilepaskan di kawasan perlindungan di negeri ini yang berada di bawah jagaan Perhilitan," katanya.
-- BERNAMA