Perhilitan laksana program pembiakan Harimau Malaya elak pupus
Bernama
Januari 7, 2022 20:16 MYT
Januari 7, 2022 20:16 MYT
MELAKA: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan melaksanakan program pembiakan Harimau Malaya atau nama saintifiknya panthera tigris jacksoni pada tahun ini, dalam usaha meningkatkan populasi spesies terancam itu.
Ketua Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata langkah tersebut diambil bagi melindungi haiwan yang menjadi simbol kebanggaan negara itu, ekoran jumlah yang direkodkan ketika ini adalah kurang daripada 200 ekor.
"Pelbagai kajian dan penyelidikan telah dilaksanakan untuk program ini, seterusnya ia akan dijalankan di Pusat Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTCC) dengan usaha sama kerajaan negeri, agensi berkaitan serta beberapa zoo di negara ini termasuk Zoo Melaka.
"Sekiranya tiada langkah drastik diambil, Harimau Malaya ini akan diancam kepupusan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang," katanya kepada pemberita di Ayer Keroh di sini, hari ini.
Terdahulu beliau mewakili Perhilitan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Zoo Melaka yang diwakili Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman.
Abdul Kadir berkata menerusi program rewilding itu anak harimau akan dilatih untuk berdikari dalam tempoh dua atau tiga tahun sebelum dilepaskan semula ke habitat asal.
Sementara itu beliau berkata MoU bersama Zoo Melaka itu merangkumi kerjasama bagi pembangunan dan penganjuran program konservasi hidupan liar, penyelidikan, pendidikan serta kesedaran awam dan sebagainya.
"Ia termasuk program pembiakan khas untuk spesies tempatan seperti Harimau Malaya, selain penambahan spesies hidupan liar baharu untuk tarikan dan program pendidikan kepada pengunjung.
"Antara haiwan yang akan ditempatkan di Zoo Melaka seperti kambing gurun, binturong dan seladang. Kerjasama ini juga bagi merancakkan lagi pembiakan sedia ada dalam Zoo Melaka dan stok hidupan liar yang tiada pasangan," katanya.
-- BERNAMA
#Perhilitan
#harimau Malaya
#program pembiakan
#panthera tigris jacksoni
#Abdul Kadir Abu Hashim
#Zoo Melaka