Perhilitan Kelantan terima laporan penemuan bangkai harimau belang di Kuala Krai

Bernama
Jun 28, 2024 22:00 MYT
Bangkai harimau belang ditemui penduduk kampung ketika melalui kawasan Sungai Dabong, Kuala Krai, petang semalam. - Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan mengesahkan telah menerima laporan mengenai penemuan bangkai seekor harimau belang di Sungai Dabong, Kuala Krai petang semalam.
Pengarahnya Mohamad Hafid Rohani berkata bangkai haiwan liar itu, ditemukan penduduk kampung ketika melalui kawasan sungai berkenaan.
Beliau berkata penduduk kampung memaklumkan perkara itu dan sepasukan renjer telah dikerahkan ke lokasi itu untuk menyiasat.
"Bangkai harimau belang itu kemudiannya dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Negara di Sungkai, Perak untuk dibedah siasat," katanya kepada Bernama malam tadi.
Mohamad Hafid berkata prosedur bedah siasat adalah untuk merungkai punca kematian haiwan liar berkenaan.
"Keputusan bedah siasat haiwan liar itu akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat," katanya.
-- BERNAMA
#Kuala Krai #Harimau belang #bangkai harimau #Perhilitan Kelantan