Perhilitan Kelantan ambil masa lima jam pindah gajah liar
Bernama
Disember 5, 2020 20:56 MYT
Disember 5, 2020 20:56 MYT
JELI: Anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan mengambil masa lima jam memindahkan seekor gajah liar yang berkeliaran dan memusnahkan tanaman penduduk di Kampung Jerek, Batu Melintang di sini hari ini.
Pengarahnya, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata gajah liar jantan seberat dua tan itu berjaya ditangkap anggotanya di kawasan belukar di kampung berkenaan selepas menerima aduan pada 1 Dis lepas.
"Operasi tangkapan gajah itu membabitkan tujuh kakitangan Perhilitan Kelantan dengan menggunakan tembakan pelali, tangkapan ini sedikit sebanyak melegakan penduduk kampung terbabit dan penduduk di kampung berdekatan," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Ady Ermanty berkata gajah yang ditangkap itu merupakan gajah daripada kumpulan Gunung Basor, Jeli dengan anggaran populasi lebih daripada 30 ekor.
"Nilai kerugian harta benda dan tanaman yang dianggarkan di kawasan kampung itu berjumlah RM99,550," katanya.
Beliau berkata operasi pemindahan gajah liar berumur 15 tahun itu bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari yang diketuai oleh Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang Mohammad Khairul Adha Mat Amin.
"Seramai 25 anggota lain ditugaskan dalam operasi memindahkan haiwan liar berukuran tapak kaki sebesar 13 inci itu selain dibantu oleh pihak polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Majlis Daerah Jeli dan Tenaga Nasional Berhad," katanya.
Beliau berkata operasi itu juga melibatkan dua ekor gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Terengganu yang sedang menjalani program latihan gajah denak.
"Lokasi pemindahan dan pelepasan semula gajah liar itu ialah di Kompleks Taman Negara, Pahang," katanya.
-- BERNAMA
#TNB
#tembakan
#operasi
#gajah
#Perhilitan
#gajah liar
#Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif
#Jabatan Perlindungan Hidupan Liar
#Kampung Jerek
#Batu Melintang