Perhilitan berjaya tangkap 'Mamat'

Bernama
Jun 28, 2021 23:16 MYT
Buaya Tembaga itu berukuran 3.86 meter itu ditangkap melalui kaedah menjerat yang dijalankan oleh 17 anggota Perhilitan. - Gambar Sinar Harian/Perhilitan
KUALA NERUS: Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu akhirnya berjaya menangkap seekor buaya tembaga yang digelar 'Mamat' oleh penduduk tempatan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu Dr Abdul Malek Mohd Yusuf berkata buaya berkenaan ditangkap di lombong tinggal di sini, kira-kira 5.45 petang Isnin.
Katanya haiwan liar berukuran 3.86 meter itu ditangkap melalui kaedah menjerat yang dijalankan oleh 17 anggota Perhilitan.
"Pada malam ini Mamat akan dibawa ke Paya Indah Wetland (PIW) di Dengkil, Selangor. Sejak pertengahan Mei lepas Perhilitan telah memasang tiga unit perangkap buaya di lokasi berkenaan tetapi tidak berjaya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kisah Mamat yang dikatakan tersesat di lombong tinggal itu bukanlah perkara baharu bagi penduduk Terengganu kerana ia mula tular pada 2016 apabila penduduk setempat sering memberi reptilia itu makanan.
Reptilia itu hanya berukuran satu meter ketika ditemukan penduduk dan ia tidak bertindak agresif menyebabkan ramai yang datang ke kawasan lombong untuk melihatnya dengan lebih dekat.
-- BERNAMA
#Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara #Perhilitan #terengganu #buaya tembaga #tangkap
;