Perhalusi isu darurat dalam persoalan halal atau haram vaksin COVID-19 - IFFAH
Astro Awani
Februari 10, 2021 13:08 MYT
Februari 10, 2021 13:08 MYT
KUALA LUMPUR: Pemahaman tentang situasi darurat khususnya dalam isu vaksin COVID-19 perlu diperhalusi dan diperbetulkan supaya tiada kesalahan diletakkan kepada Jawatankuasa Fatwa dan pihak berkaitan.
Pengarah Besar, International Fatwa & Halal Centre (IFFAH), USIM, Prof. Dr. Irwan Mohd Subri menegaskan, ia termasuk dalam isu memutuskan sama ada pengambilan vaksin dalam darurat atau sebaliknya.
"Apa yang selalu difahami darurat hanya melibatkan mati, sebenarnya fahaman kita itu separuh masak sebab darurat dalam fiqah Islam melibatkan dua situasi, yang pertama melibatkan mati, yang kedua tidak melibatkan mati tetapi hampir mati dan keadaan itu menyebabkan kondisi yang teruk kepada kita. Ini juga dikategorikan sebagai darurat.
"Bagaimana kita berinteraksi dengan darurat? Ramai yang mempertikaikan jumlah kematian akibat COVID-19 hanya beberapa peratus sahaja, tidak ramai hendak dibandingkan dengan peringkat dunia. Kita kena faham konsep darurat dalam Islam ini tidak melihat kepada nombor, berapa orang hendak mati baru dikira darurat, tidak," katanya semasa menjadi panel webinar AWANI - The New Normal Series S26 membincangkan isu “Halal & Haram Dalam Perubatan”.
Sesi dikendalikan oleh Editor Kanan Astro AWANI, Dzulfitri Yusof.
Selain Dr. Irwan, ia turut disertai Ahli Jawatankuasa, Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa’), Dr. Rushdi Ramli; Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Mohd Nasrul Mohamad Noor dan Setiausaha Persatuan Tabib Tionghua Malaysia (MCMA), Dr. Kong Why Hong.
Dalam pada itu Dr. Rushdi menjelaskan, tidak ada keraguan untuk mana-mana pihak mengambil ubat yang sudah disahkan sebagai halal.
Bagaimanapun katanya, ia merupakan hak sendiri jika golongan yang tidak bersetuju dengan vaksin merasakannya tidak selamat untuk diri mereka.
Namun tegasnya, mereka diminta untuk mengamalkannya secara peribadi dan tidak mempromosikan idea yang salah kepada orang lain.
#COVID-19
#fatwa
#perubatan
#vaksin
#Islam
#Halal
#Bahagian Regulatori Farmasi Negara
#Astro Awani
#halal haram vaksin