Perhalusi cadangan hukuman tahanan di rumah - KPN

Sinar Harian
November 19, 2024 16:45 MYT
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia adalah bagi memastikan pelaksanaannya berjalan secara lebih teratur.
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berharap supaya cadangan kerajaan untuk menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah diteliti dan diperhalusi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia adalah bagi memastikan pelaksanaannya berjalan secara lebih teratur.
"Apa yang paling penting, sekiranya cadangan untuk menempatkan tahanan rumah ini dilaksanakan adalah konteks kepentingan dan keselamatan serta ketenteraman masyarakat umum secara keseluruhannya terjamin.
"PDRM komited untuk memberikan kerjasama berhubung perkara ini khususnya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Razarudin berkata, pihaknya bersedia dalam memberikan sebarang cadangan dan penambahbaikan dalam sebarang sesi libat urus demi memastikan kepentingan semua pihak terutama masyarakat umum terpelihara.
Pada 19 Oktober lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, rang undang-undang berkaitan tahanan di rumah akan dibentang pada tahun depan dan Kabinet telah memberikan kelulusan dasar untuk pelaksanaannya.
Katanya, cadangan tahanan di rumah itu disasarkan kepada pesalah yang melakukan kesalahan tidak serius membabitkan 20,000 pesalah kategori tertentu.
Contohnya, ibu tunggal dihimpit kemiskinan yang mencuri susu kerana ingin memberi anaknya makan dan dijatuhi hukuman penjara.
Beliau berkata, susulan itu, tidak perlu ditimbulkan polemik berkaitan siapa yang layak dipertimbang untuk menjalani hukuman kerana pesalah perlu melepasi beberapa tahap tapisan antaranya memiliki rekod disiplin baik ketika dipenjara. - Sinar Harian
#Akta Tahanan Rumah #PDRM #Razarudin Husain #Saifuddin Nasution
;