Pergolakan politik, pertukaran PM rugikan negara dan rakyat - Ismail Sabri
Astro Awani
Ogos 22, 2021 18:24 MYT
Ogos 22, 2021 18:24 MYT
KUALA LUMPUR: Pergolakan politik yang menyaksikan siri peralihan kuasa berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) hanya merugikan rakyat dan negara, tegas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Perdana Menteri, dengan hanya berbaki 21 bulan sebelum terbubarnya Parlimen, negara telah melalui dua peralihan kerajaan dan dua Perdana Menteri.
"Sebenarnya, peralihan tersebut dalam tempoh sepenggal adalah landskap politik yang merugikan rakyat dan negara.
"Marilah kita bergerak ke hadapan. Kita leraikan segala perebutan kuasa politik.
"Kita bersama-sama berjuang sebagai sebuah keluarga besar yang merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri - dalam memperbaik, merawat dan memulihkan semula tanah air ini," katanya ketika menyampaikan ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Ahad.
Tambah beliau, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam perjumpaan bersama ketua-ketua parti politik baru-baru ini telah bertitah kepada semua agar melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri selepas penyandang jawatan tersebut Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan 16 Ogos lalu.
Pada Sabtu, Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai perdana menteri yang baharu di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
#ismail sabri yaakob
#Perdana Menteri
#pergolakan politik
#kerjasama
#pertukaran PM
#pilihan raya umum