Pergolakan politik hanya melemahkan negara dan ekonomi - Abang Johari

Syafik Shukri Jalil
Julai 22, 2021 21:45 MYT
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (tengah) ketika hadir pada Sambutan Hari Sarawak 2021 di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pergolakan politik dan perebutan kuasa antara parti-parti politik akan hanya akan melemahkan sesebuah negara dan ketidakstabilan ekonomi.
Demikian tegas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga menyifatkan sebesar mana peruntukan sekalipun dikeluarkan kerajaan pusat tidak akan membawa sebarang impak jika politiknya tidak stabil.
‘’Walau apapun yang dirancang oleh kerajaan, peruntukan yang besar tidak menjamin kejayaan jika iklim politik tidak mengizinkan.
‘’Wang asing akan mengalir keluar dan para pelabur sudah pasti tidak akan melabur di negara-negara atau negeri-negeri yang terumbang-ambing dari segi suasana politiknya,’’ katanya.
Abang Johari berkata demikian semasa berucap pada Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2021 yang dianjurkan di Bangunan DUN di Kuching pada Khamis.
Selain itu, Abang Johari turut menekankan keupayaan negeri itu dalam mendepani penularan pandemik COVID-19 tanpa bergantung sepenuhnya kepada keputusan Kerajaan Persekutuan.
‘’Sepanjang pandemik ini berlangsung, kita (Kerajaan Sarawak) sering membuat keputusan sendiri berdasarkan situasi di negeri ini.
‘’Kita menghormati Kerajaan Persekutuan namun tidak semua keputusan tersebut sesuai dengan situasi semasa di sini,’’ tambahnya.
Ujarnya, Sarawak mempunyai keluasan yang sama dengan Semenanjung namun dengan kekangan sumber dan infrastruktur, agak sukar untuk negeri itu mengimplementasikan setiap keputusan di peringkat persekutuan.
‘’Usaha menangani pandemik COVID-19 suatu ujian getir yang memberi kita keyakinan bahawa Sarawak mampu melakukan, mendepani rintangan dan menggalas tanggungjawab bagi memastikan negeri ini sentiasa berada di hadapan.
‘’Saya telah melancarkan Pelan Pasca COVID-19 dan yakin bahawa semangat anak Sarawak yang dipamerkan ketika berhadapan dengan COVID-19 akan membawa kita kepada kejayaan mencapai matlamat pelan tersebut pada 2030,’’ ujarnya lagi.
BACA: Sarawak peruntuk RM63 bilion bagi strategi pembangunan pasca COVID-19
Antara lain, Abang Johari turut mengajak warga Bumi Kenyalang untuk terus bersatu hati dan mengekalkan perpaduan di negeri itu.
‘’Oleh itu, sempena hari yang penuh bermakna ini marilah kita rakyat Sarawak sama-sama merapatkan kesetiakawanan dan mengukuhkan perpaduan dan keharmonian.
‘’Sama-samalah kita menjauhkan negeri ini daripada politik yang membawa kepada perpecahan,’’ tambahnya.
Hari Sarawak disambut pada 22 Julai bagi memperingati detik bersejarah diBritish menyerahkan kuasa mentadbir kepada rakyat Sarawak dengan perlantikan Ketua Menteri pertama, mendiang Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan.
#Hari Sarawak 2021 #Abang Johari Tun Openg #COVID-19 di Sarawak #Pelan Pasca COVID-19 #Stephen Kalong Ningkan
;