Perginya seorang penulis dan penyair luar biasa

Hasimi Muhamad
Oktober 29, 2020 17:23 MYT
Salleh popular dengan gaya penulisannya tersendiri, dan lebih dikenali dengan penerbitan karya dwi bahasa. - Facebook @Salleh Ben Joned
BERANI dan luar biasa....
Itu gambaran perwatakan Allahyarham Salleh Ben Joned yang disahkan meninggal dunia pada usia 79 tahun, awal pagi Khamis.
Pemergian penulis dan penyair itu disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada keluarga, negara dan dunia sastera.
Bagi adik kepada Allahyarham Salleh, Zaleha Md Said, 74 tahun, kenangan membesar bersama arwah akan sentiasa segar dalam ingatannya.
Sikap arwah yang sanggup berkorban dan bersusah payah demi keluarga membuatkan wanita itu tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi kisah abang tersayangnya itu.
"Ia kehilangan besar buat keluarga. Masa saya kecil dulu, dialah yang ambil berat tentang kita, sampai sakit pun, Alhamdulillah dia tidak menyusahkan orang dan dia pergi dengan senang.
"Dia sentiasa mengambil berat terhadap arwah emak dan saya sendiri. Dalam keadaan sudah sekali pun, dia (ketika menerima) biasiswa, dia menolong saya. Dia berkorban memberikan duit kepada saya, dan ketika melanjutkan pelajaran di Australia, dia menolong saya dari sana sebab kami sudah tiada ayah.
"Jasa dia memang tidak ternilai...," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, di sini hari ini.
Anak kedua Allahyarham, Adam Kabir Salleh, 33 tahun, berkata bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan yang pelik sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Ujarnya, sumbangan besar bapanya kepada dunia kesusasteraan memberi inspirasi kepada dia untuk mengikut jejak langkah arwah.
"Saya berpeluang bercakap dengan arwah sehari sebelum (bapanya meninggal dunia). Tetapi kami tidak bercakap banyak kerana dia dalam keadaan tidak sedar.
"Jadi saya hanya menunggu dan dia tersenyum... dia tidak memberikan apa-apa ucapan, tetapi saya sangat menyayanginya," luah Adam.
Bagi anak saudaranya, Anwar Ismail, 60, pula, karya yang dihasilkan Allahyarham masih kekal hidup dan menjadi bualan dalam kalangan generasi muda.
Jelasnya, ia satu petunjuk baik bahawa karya-karya tersebut diterima baik dan dihargai oleh masyarakat.
"Nilai humor yang ada pada dia memang bertaraf antarabangsa. Saya harap generasi muda akan mengikut langkah arwah dalam kesinambungan dan meneruskan legasi," katanya.
Sementara itu, sahabat karib Allahyarham, Taib Wahab, 74 tahun, berkata, sehingga hujung hayat Salleh, arwah masih memikirkan tentang isu masyarakat dan negara.
Dia yang mengenali Allahyarham sejak mula bertugas di Universiti Malaya (UM) berkata, 'buah tangan' yang dihasilkan Salleh begitu istimewa, khususnya dalam menzahirkan kritikan tajam.
"Dia seorang yang 'private person', beliau jarang nak bercakap kecuali kita yang mula soal jawab dengannya.
"Dari sudut itu dia lebih banyak berfikir daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh menyentuh perasan orang.
"Jadi, orang yang tidak kenal mungkin akan tersinggung tetapi kawan-kawan sudah biasa dan kami boleh bercakap macam-macam tanpa batas dan tiada garis pemisah antara kami," katanya.
Terdahulu, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira 11.30 pagi di Tanah Perkuburan Islam USJ 22.
Selain Adam, Allahyarham yang dilahirkan di Melaka meninggalkan dua lagi cahaya mata iaitu Anna Salleh dan Siti Hawa Salleh.
Salleh popular dengan gaya penulisannya tersendiri, dan lebih dikenali dengan penerbitan karya dwi bahasa.
Antara buku yang pernah dihasilkan Allahyarham ialah Nothing is Sacred, The Amok of Mat Solo serta Sajak-Sajak Salleh yang ditulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
Allahyarham pernah terlibat dalam dunia lakonan termasuk dalam filem Amok (1995), Paper Tiger (1975) dan Bintang Malam (1991).
#jenazah #Salleh Ben Joned #sasterawan #Penyair dan penulis #sastera #Nothing is Sacred
;