Perginya Rehman Rashid, penulis, tukang cerita dan pengembara

Karim Raslan
Jun 6, 2017 09:06 MYT
Rehman Rashid di rumahnya di Kuala Kubu Baru, Selangor. - Kredit foto Jahabar Sadiq
REHMAN RASHID, penulis, tukang cerita, pengembara dan pencinta alam sudah tiada.
Beliau bukan hanya sekadar seorang wartawan. Rehman seorang penglipur lara.
Di sebuah negara yang naratif utamanya sejak Merdeka hampir enam puluh tahun lalu hanyalah tentang Melayu, Muslim dan aristokrat, pendekatan beliau yang pelbagai kaum, berbilang agama dan berjejak adalah nafas segar dalam bidang penulisan.
Rehman lahir di Taiping, Perak pada 1955. Ayahnya seorang India Muslim, ibunya India Eurasia. Mendapat pendidikan awal di sekolah elit Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK, juga di Perak), beliau kemudiannya belajar bidang biologi marin.
Selepas berkhidmat sebagai kakitangan awam dengan Institut Penyelidikan Perikanan dan sebagai pengajar di Universiti Pertanian Malaysia (UPM), pada 1981 beliau akhirnya bertemu dengan kerjayanya yang sebenar. Beliau jadi wartawan sambilan dan kemudian dilantik sebagai Pengarang Bersekutu di akhbar New Straits Times (NST).
Tetapi beliau masih tidak gemar duduk di pejabat: Rehman terlalu besar dan riuh untuk berada di beranda kuasa dan pengaruh di Kuala Lumpur yang sunyi sepi.
Beliau bukan jenis orangnya yang tahu duduk diam dan menunggu giliran, berbisik-bisik dan mengikut arus di balik bayang-bayang. Rehman ada personaliti dan harga diri.
Malah, beliau sebenarnya sangat gembira kalau turun ke turun padang dan kolumnya Scorpion Tales membayangkan pilihannya itu.
Tempatnya dalam kalangan orang kebanyakan, duduk kedai kopi Cina dan warung Melayu.
Mendengar cerita-cerita mereka, beliau jadi sumber inspirasi mereka — mengetepikan dunia Tunku, Tun, Tan Sri dan Datuk.
Beliau menghiburkan kita dengan kisah-kisah benar dan menyedarkan kita tentang hal-hal yang kita terlepas dalam ketaksuban kita mengendalikan dunia para elit. Beliau memberi maruah dan mengangkat darjat keseluruhan proses bercerita.
Dalam konteks inilah saya pertama kali bertemu dengannya ketika saya berpeluang menjalani latihan di NST pada 1982.
Tahun-tahun awal 80-an adalah zaman penuh gelora. Dr Mahathir Mohamad baru mula jadi Perdana Menteri dan Musa Hitam sebagai timbalannya.
Berada di Malaysia pada masa itu rasanya penuh tenaga, optimistik dan penuh harapan — setidak-tidaknya begitulah kalau anda seorang wartawan.
Akta Mesin Cetak dan Penerbitan masih lagi belum ada.
Itulah masanya orang yang betul-betul berani dan lantang menulis untuk akhbar, termasuk Zainah Anwar, Rose Ismail dan Marina Mahathir.
Negara ini tampak seperti ada harapan — tetapi tentulah kita semua tahu apa yang berlaku kemudiannya apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) mula menunjukkan hasilnya.
Dari satu sisi, Rehman “melahirkan” kelompok penulis pada awal 1980-an. Walaupun jalan kami tidak sama, beliau membuatkan kami mahu berkongsi cerita-cerita kami tentang Malaysia.
Dengan naratif orang pertama, beliau menunjukkan betapa kewartawanan itu boleh jadi menghiburkan, relevan dan tajam. Melalui kolumnya, beliau mendorong batasan-batasan dalam penulisan sejauh mungkin.
Tetapi beliau juga seorang manusian dan seperti semua manusia, ada kekurangannya apabila masanya yang mendesak itu tiba.
Dalam buku memoir dan sejarah negaranya, A Malaysian Journey yang berpengaruh itu, beliau merakamkan pertembungannya dengan Pengarah Cawangan Khas ketika itu yang cukup digeruni (dan kemudian Ketua Polis Negara), Tan Sri Rahim Noor.
Rehman, susulan penangkapan besar-besaran tokoh pembangkang dan aktivis politik pada 1987, telah menulis kecaman tegas kepada pihak berkuasa.
Pendirian yang bebas seperti itu daripada sebuah akhbar yang tampak memihak kepada kerajaan agak mengejutkan dan beliau telah dipanggil ke ibu pejabat polis di Bukit Aman yang dari atasnya nampak pemandangan ibu kota.
Seperti yang ditulis oleh Rehman, beliau berasa ditakut-takutkan secara sistematik oleh Rahim Noor: “Saya tidak dapat mengimbau semula episod itu sekarang tanpa rasa teramat malu.Begitu rapuhnya saya mempertahankan diri sendiri. Satu perkataan tentang profesyen kewartawanan, dan selepas itu ya tuan, ya tuan.Penyerahan saya pun lengkaplah sudah dan hanpir pula serta-merta. Kenapa?... Saya mahu dibebaskan. Saya takut. Dan dia tahu, dan percaya bahawa saya sepatutnya begitu. Saya tidak fikir saya boleh memaafkan diri saya sendiri kerana rasa takut itu… Moga saya tidak akan takut lagi.”
Itulah Rehman: pengkritik dirinya sendiri yang paling keras dan menentukan tempatnya tanpa belas ihsan dan kasihan.
Hidupnya yang penuh ghairah (sehingga membawanya bermastautin di Hong Kong dan Bermuda) penuh dengan detik-detik kecemerlangan dan titik-titik kegelapan.
Tetapi seperti yang saya difahamkan, beliau bertemu dengan ketenangan dan puas hati di Kuala Kubu Baru di timur laut Selangor, jauh dari hingar-bingar Lembah Klang. Pekan kecil itu beliau rakamkan dalam buku terakhirnya Small Town.
Seperti yang saya sebut tadi, beliau adalah semacam perintis kepada para penulis generasi saya: kerana melakukan apa saja yang beliau mahu, kerana menegur editor yang campur tangan supaya berambus dan kerana hanya menjadi Rehman.
Al-Fatihah. Doa saya bersama ahli keluarganya.

*Karim Raslan ialah penulis lulusan University of Cambridge yang turut menyumbang kepada ruangan Ceritalah ASEAN di Astro AWANI. Kali pertama beliau bertemu dengan Allahyarham Rehman adalah sewaktu menjalani latihan di NST pada 1982.
** Kandungan artikel ini adalah pandangan peribadi mengikut pemerhatian penulis, dan tidak semestinya mewakili lidah pengarang Astro AWANI.
#Karim Raslan #Rehman Rashid
;