Tanggal 17 Disember 2014 meninggalkan sejarah hitam buat keluarga Mohd Abdul Ghani Sulaiman di Kampung Kuala Pertang di sini, selepas mereka kehilangan insan tersayang dalam arus deras akibat banjir.

Bencana itu bukan sahaja merobohkan kediamannya, malah turut menghanyutkan salah seorang cucunya berusia 20 bulan yang sehingga kini masih belum ditemui jasadnya.

Mengenang kembali peristiwa pahit di tapak rumah yang dihanyutkan air di kampungnya, isteri Abdul Ghani, Faridah Salleh berkongsi kisah menyayat hati ini.

Ia berlaku pada petang 17 Disember ketika banjir gelombang pertama membadai kawasan ini.

Pada waktu itu katanya, air mulai naik pada pukul 4 petang dan meningkat secara mendadak pada sebelah malam menyebabkan mereka sekeluarga bersama seorang anaknya, serta lima orang cucunya terperangkap.

Pada waktu itu kesemua mereka berada di atas bumbung, di mana salah satu bahagian rumahnya roboh menyebabkan tujuh ahli keluarganya terpaksa berpaut dan bertahan di dahan pokok rambutan.

Dalam kekalutan itu, mereka meninggalkan salah seorang cucunya, Nur Diana Adila yang berusia 20 bulan di atas bumbung yang masih bertahan.

Hasrat suaminya, Mohd Abdul Ghani, adalah untuk menjemput Nur Diana setelah memastikan kesemua ahli keluarganya berpaut kuat pada dahan rambutan.

Ketika itulah, bahagian belakang rumah mereka roboh dan cucunya turut hanyut ditelan banjir.

"Makcik tak sempat nak mendukungnya dan dia ditinggalkan di atas bumbung seorang diri. Dia dihanyutkan dengan rumah sekali akibat arus deras. Makcik masih terbayangkan dia sehingga hari ini. Makcik redha," kata nenek mangsa, Faridah Salleh.

Mengimbau saat genting ketika banjir besar melanda kawasan itu, Mohd Abdul Ghani Sulaiman yang merupakan datuk kepada mangsa itu berkata, cucunya hanyut dibawa arus deras.

Astro AWANI

"Kami tak sempat menyelamatkannya. Pakcik sendiri terpaksa berpaut pada dinding sambil menyaksikan rumah runtuh dan dibawa arus. Kami menunggu untuk dia timbul namun apakan daya, tiada apa yang dapat kami lakukan," kata Mohd Ghani.

"Usaha pencarian kami berterusan selepas itu, malah pihak askar turut datang menghulurkan bantuan dengan anjing pengesan. Namun, tidak berjumpa sehingga saat ini," tambahnya.

Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perit-jerih mereka saat itu.

Mereka sekelurga terpaksa berpaut di dua pokok selama lebih lapan jam sebelum pasukan penyelamat berjaya memasuki kawasan kampung mereka.

Setelah hampir dua tahun peristiwa itu berlalu, Abdul Ghani dan Faridah masih sugul, dalam keadaan rumah kekal baru yang dijanjikan belum dapat diduduki sehingga saat ini.