'Pergi dulu nek' ungkapan terakhir sebelum ditemui lemas
Sinar Harian
Februari 15, 2022 07:47 MYT
Februari 15, 2022 07:47 MYT
SABAK BERNAM: Seorang nenek tidak menyangka perkataan 'pergi dulu nek' petanda cucunya itu menghadap Ilahi buat selamanya apabila ditemui lemas bersama seorang lagi rakannya di kawasan rekreasi Air Terjun Batu Berangkai dekat perkampungan Orang Asli di Kampar pada Selasa.
Zaleha Basar, 63, berkata, ungkapan itu diluahkan cucunya, Muhammad Fikri Adam Azmi, 20, sewaktu ingin bertolak ke Kampar, Perak kira-kira jam 7 pagi Selasa.
"Sebelum bertolak ke Kampar arwah ada datang berjumpa saya dan sempat mencium tangan meminta izin ingin ke Kampar.
"Lebih menyedihkan apabila arwah ada sebut perkataan pergi dulu nenek dan tidak sangka memang dia pergi buat selamanya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Rhu di sini pada Selasa.
Zaleha berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu sememangnya rapat dengannya sejak kecil lagi.
"Saya amat terasa kehilangan arwah lebih-lebih lagi dia ringan tulang dan rajin membantu jika saya perlukan pertolongan," katanya.
Dalam kejadian tersebut, percutian dan perkelahan empat rakan di kawasan air terjun Batu Berangkai di sini berakhir tragedi apabila dua daripada mereka meninggal dunia akibat lemas pada Selasa.
Kejadian sekitar jam 10 pagi itu berlaku ketika mangsa, Muhammad Fikri Adam Azmi, 20, dan Muhammad Amirul Hafidz Maasor, 20, sedang mandi di air terjun berkenaan.
Mengulas lanjut, Zaleha memberitahu, Allahyarham Muhammad Fikri sememangnya bersahabat baik dengan seorang lagi mangsa lemas iaitu Muhammad Amirul Hafidz.
Katanya, kedua-duanya pernah bersama-sama bersekolah di Sekolah Agama Menengah (SAM) Parit Baru dan menyambung pengajian ke Tingkatan Enam di Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Batu 38.
"Mereka sudah lama bersahabat dan tidak sangka kedua-duanya terlebih dahulu pergi menemui Pencipta," ujarnya.
Muhammad Fikri dan Muhammad Amirul, ditemui lemas di kawasan rekreasi Air Terjun Batu Berangkai dekat perkampungan Orang Asli di Kampar.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, kejadian berlaku ketika dua mangsa maut bersama dua lagi rakan mereka melakukan aktiviti berkelah di air terjun berkenaan.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.