'Pergi dengan siapa? Semua dah mati!' - Warga emas imbau detik capai kemerdekaan

Shuhada Abdul Kadir
Ogos 20, 2019 11:44 MYT
Riak sayu di wajah Tik ketika mengimbau detik kekejaman komunis terhadap keluarganya.
**ARTIKEL INI IALAH SAMBUNGAN KEPADA JUDUL AWAL BERTAJUK 'IBU DIRODOK DENGAN LEMBING'
SELEPAS komunis beredar, tentera Jepun bersama orang kampung datang mencari dan memanggil nama ahli keluarga masing-masing.
Masih jelas di ingatan Tik Sulong, 89, tatkala kembalinya si ayah ke perkampungan yang ibarat medan perang itu.
Sejurus terlihat rumahnya yang terbakar, ayahnya bertindak terjun ke dalam api yang marak kerana menyangkakan mereka sekeluarga masih berada di dalam rumah.
"Lima orang ahli keluarga kami terbunuh dalam tragedi itu, manakala lima orang lagi dari kalangan penduduk kampung yang lain.
"Jenazah abang ipar yang mati terbakar hanya tinggal sehasta. Suasana pengebumian kelima-lima jenazah ahli keluarga kami amat memilukan."
Menurut Tik, selepas tragedi itu, dia sekeluarga yang terselamat tinggal menumpang selama empat malam di rumah orang yang bersimpati dengan nasib mereka di Batu Pahat sebelum berpindah dan menetap di Sungai Udang, Melaka iaitu tempat asal ayahnya.
"Saya mendirikan rumah tangga dengan suami, Abdul Jalil Hashim, anak seorang guru yang juga Sidang di Sungai Udang dan kemudiannya dikurniakan lapan orang anak.
"Suami saya memandu teksi di Singapura. Pada tahun 1954 saya berpindah ke Singapura mengikut suami dan tinggal menumpang dengan abang saya yang menetap di Jalan Ampas.
"Seminggu selepas perintah berkurung di Singapura kerana tragedi Natrah diambil bapanya untuk dibawa pulang ke Belanda, kami kemudiannya berpindah semula ke Melaka," katanya.
Mengimbau detik menjadi saksi laungan “MERDEKA!” pertama yang dilaungkan Tunku Abdul Rahman di Padang Banda Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956 di runtuhan Kota Melaka, ujarnya hanya rasa syukur yang dapat diluahkan.
Dia masih ingat detik kehadiran Bapa Kemerdekaan itu ke Melaka sejurus rundingan kemerdekaan berjaya dimeterai di kota London pada 8 Februari 1956.
Selepas membesar dalam keadaan darurat dek kekejaman komunis, Tik berasa gembira apabila dimaklumkan Tanah Melayu akan menggapai kemerdekaan.
Masih segar di ingatannya apabila dia bersama rakan-rakan berjalan kaki sejauh kira-kira 15 kilometer (km) untuk mendengar laungan kemerdekaan.
Kumpulan wanita juga menyediakan bekal makanan sebelum bergerak ke runtuhan Kota Melaka itu.
"Kita tak ingat makan, tak ingat apa. Sukanya tak tau nak cakap, memang tak boleh tidur.
"Yang perempuan buat kanji (bawa bekal). Sekarang semua nak duit. Dulu tak ada, semua sendiri.
"Pergi dengan siapa? Semua dah mati, semua dah meninggal," katanya dengan nada pilu.
Tik aktif berpolitik dan ketika penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946, beliau turut menyertainya selain banyak terlibat di dalam persatuan-persatuan termasuk pernah dilantik menjadi Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Sungai Udang.
Malah beliau pernah memegang jawatan Ketua Wanita UMNO Cawangan Sungai Udang selama 32 tahun.
#Abdul Jalil Hashim #kekejaman komunis #MaknaMerdeka #MalaysiaKU #Merdeka #Padang Banda Hilir #Tik Sulong #Tunku Abdul Rahman #zaman komunis
;