'Pergi cari sendiri' - Muhammad Shafee enggan komen keadaan Najib
Hasimi Muhamad
Ogos 25, 2022 15:49 MYT
Ogos 25, 2022 15:49 MYT
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak enggan memberikan sebarang kenyataan mengenai keadaan bekas Perdana Menteri itu yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang atas kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.
Muhammad Shafee yang ditemui media di lobi kompleks Mahkamah Tinggi di sini sebaliknya meminta pengamal media mencari sendiri jawapan mengenai keadaan anak guamnya itu.
“Pergi cari sendiri,” katanya sebelum berlalu memasuki bangunan Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.
Terdahulu, Najib tiba di Kompleks Mahkamah Tinggi di sini pada jam 8.27 pagi bagi perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.
Ia merupakan penampilan pertama Ahli Parlimen Pekan itu selepas dua hari menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Ditanya mengenai perkembangan kes perbicaraan 1MDB pula, Muhammad Shafee turut enggan mengulas lanjut, mendakwa bimbang media akan memanipulasi kenyataan yang dibuat oleh pasukannya.
“Anda memanipulasi dan mengubah kenyataan kami,” katanya lagi.
Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Pada Selasa, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.