Pergerakan trafik lancar, dijangka meningkat petang ini - LLM

Faida Rahim
Disember 26, 2023 13:47 MYT
Aliran trafik dijangka meningkat petang ini sehingga tengah malam susulan pergerakan pulang ke ibu negara. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan aliran pergerakan trafik di semua lebuh raya utara selatan PLUS E1 dan E2 melibatkan bahagian utara, tengah dan selatan masih lancar dan terkawal setakat pagi ini.
Penolong Pengarah Pemantauan Operasi LLM Nur Adani Adnan memaklumkan kesemua lebuh raya bertol di Lembah Klang, Lebuh Raya Karak, Lebuh Raya Pantai Timur 1 dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 E8 masih lagi bergerak lancar.
"Walau bagaimanapun terdapat kemalangan berlaku yang akan menyebabkan trafik perlahan iaitu di lebuh raya plus E1 KM 342.3 arah utara Sungkai ke Bidor, trafik dijangka mengalami sedikit kesesakan dan pengguna dinasihatkan agar berhati-hati ketika memandu," katanya.
Adani berkata demikian ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
Dalam pada itu, Adani memaklumkan aliran trafik dijangka meningkat petang ini sehingga tengah malam susulan pergerakan pulang ke ibu negara.
Ini berikutan orang ramai memanfaatkan pemberian tol percuma sejak tengah malam tadi hingga 11.59 malam ini.
#PLUS #LLM #aliran pergerakan trafik #tol percuma
;