Pergerakan terbatas, keluarga terjejas, warga asing kandas, PKP halang gerak bebas
Razak Chik
April 26, 2020 21:52 MYT
April 26, 2020 21:52 MYT
TERHALANG bergerak bebas akibat sekatan perjalanan dalam suasana pandemik COVID-19, warga asing menghadapi pelbagai masalah bersangkutan kontrak pekerjaan dan taraf pemastautin.
Dalam keadaan pelbagai kekangan menyebabkan penerbangan digantung, mereka tidak dapat pulang dan lebih menyulitkan, masalah itu nampaknya tiada penyelesaian.
Ini kerana pelbagai pihak bertanggungjawab masing-masing tidak berkemampuan menyelesaikan kebuntuan akibat penutupan sempadan antarabangsa.
Dalam kalangan pemastautin di bawah program Malaysia My Second Home (MM2H), terdapat mereka yang gagal pulang ke Kuala Lumpur kerana bukan warganegara. Dalam kalangan pasangan Malaysia-United Kingdom; suami isteri serta keluarga tepaksa hidup berpisah.
Masalah mereka kerap diketengahkan melalui media khusus membuat liputan isu warga profesional asing seperti ExpatGo dan SalamGateway.com.
Salah satu contoh kes: Seorang suami warganegara United Kingdom gagal mengikut isterinya berbangsa Melayu pulang ke Malaysia walaupun sudah bersedia untuk berlepas dari Lapangan Terbang Heathrow, London, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa pada 18 Mac.
Ini berikutan peraturan yang hanya pasangan yang sudah berkahwin sekurang-kurangnya enam bulan layak memulakan proses memohon visa suami/isteri (spousal visa).
Dalam kes lain, seorang warga UK yang terkandas di tempat kerjanya di Iraq kini terpisah daripada isteri dan dua orang anaknya di Pulau Pinang.
Oleh kerana visa pelancong yang selama ini diguna suami untuk pulang ke Malaysia tidak 'laku' sekarang, dia tidak berjaya mendapat kebenaran untuk bersama keluarganya di Pulau Pinang.
Isu yang sama dihadapi seorang warga Pakistan yang mengendali sebuah syarikat teknologi maklumat dan kini terkurung di Malaysia.
Dia bersedia pulang ke Pakistan tetapi tidak akan dibenarkan pulang ke Malaysia selagi PKP berkuat kuasa.
Tanpa sebarang kata putus bila PKP akan berakhir, warga Pakistan itu terpaksa kekal di Malaysia untuk terus mengendalikan perniagaannya di Kuala Lumpur. Ini menimbulkan pelbagai kesulitan berhubung penjagaan dan pengurusan keluarganya di Pakistan.
Dalam satu kes lagi, seorang warga Iran sekeluarga kini tidak mendapat kebenaran membawa 'pulang' ibu bapa dari Tehran ke Kuala Lumpur walaupun seluruh keluarga sah menyertai skim MM2H.
Peraturan membenarkan mereka kembali tetapi proses permohonan perlu dilakukan di negara ketiga – satu perkara yang tidak mungkin berlaku akibat satu dunia mengenakan pelbagai sekatan perjalanan.
Kalangan profesional warga India, ramai yang terkandas menginap di rumah sewa menanti untuk pulang balik ke negara asal.
Ada yang diberhentikan kerja – walaupun sementara, dan ada juga yang ditamat kontrak. Mereka kesemuanya terpaksa mengemis jasa baik rakan senegara kerana keputusan wang membayar sewa dan belanja makan selagi tinggal di Malaysia.
Usaha untuk pulang ke India gagal kerana tiada perkhidmatan udara selagi penutupan sempadan masih kekal.
Kementerian Pelancongan (MOTAC) setakat memberi pengakuan bahawa warga asing terlibat bebas bergerak masuk dan keluar Malaysia apabila PKP tamat kelak.