Pergerakan 6 juta rakyat Lembah Klang, N. Sembilan perlu dikawal
Bernama
November 12, 2020 21:19 MYT
November 12, 2020 21:19 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menyuarakan kebimbangan pergerakan keluar masuk 6 juta rakyat di Lembah Klang dan Negeri Sembilan, akan menyumbang kepada peningkatan kes COVID-19, di negeri-negeri itu.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata hampir semua daerah di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya, kini Zon Merah COVID-19 dan agak sukar untuk mengawal pergerakan penduduk yang tinggi dan padat di negeri terlibat.
Justeru katanya, perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang, diharapkan dapat mengurangkan pergerakan rentas negeri khususnya di Lembah Klang dan Negeri Sembilan, seterusnya memutuskan rantaian penularan baharu wabak itu.
"Pergerakan (orang awam) dari zon-zon merah di Lembah Klang agak sukar dikawal berbanding zon merah di Sabah ke Semenanjung misalnya, kerana kita boleh saring dan kenal pasti mereka bila keluar dari Sabah.
"Kita (KKM) bimbang jika orang dari Lembah Klang atau Negeri Sembilan yang dijangkiti wabak itu dan merentas negeri ke zon hijau, ia akan bawa jangkitan. Oleh itu, walaupun tak dapat bataskan 100 peratus pergerakan keluar masuk, tapi PKPB dapat kurangkan pergerakan itu," katanya.