'Pergaduhan Low Yat tiada kaitan dengan perkauman' -Netizen
Shamil Hizamie
Julai 13, 2015 10:53 MYT
Julai 13, 2015 10:53 MYT
Sejak semalam, topik seperti Low Yat dan Oppo menjadi trending popular di Malaysia berikutan ramai pengguna Twitter menggunakan media sosial itu untuk meluahkan pendapat.
Netizen rata-ratanya bersikap terbuka dan tidak menjurus untuk membuat andaian bahawa insiden pergaduhan di Low Yat berkaitan dengan isu perkauman.
Nada yang sama disuarakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitter menyatakan pihak polis akan mengambil tindakan terhadap kedua-dua pihak yang bergaduh dan insiden tiada kaitan dengan sebarang sikap perkauman.
Pergaduhan yang tercetus di Plaza Low Yat, Bukit Bintang kini masih di dalam siasatan polis.
Dalam insiden yang berlaku pada Sabtu lalu, sekumpulan tujuh lelaki bertindak ganas dengan menyerang seorang pekerja kedai telefon bimbit.
Kejadian itu dilaporkan berpunca daripada rasa tidak puas hati satu pihak atas penjualan telefon bimbit.