Pereka grafik didakwa sembunyi wang lebih RM100,000 milik seorang lelaki
Bernama
Mei 20, 2024 17:16 MYT
Mei 20, 2024 17:16 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang pereka grafik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyembunyikan wang berjumlah lebih RM100,000 milik seorang lelaki, dua tahun lepas.
Lim Tik Sheng, 33, didakwa menyembunyikan wang RM130,000 milik Yap Wei Shen, 27, dengan memindahkan wang tersebut ke dalam akaun bank CIMB miliknya di sebuah pusat beli-belah di Cheras, antara 1 Okt hingga 19 Dis 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan menyembunyikan wang sama milik mangsa sama dengan memindahkan wang berkenaan ke dalam bank serupa yang mana tertuduh tidak dapat memberi keterangan memuaskan bagaimana wang itu diperoleh.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di lokasi dan tarikh sama mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Akmalzatul Mohamed Nawi menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, namun peguam R. Morhaneraj yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.
Hakim Azrul Darus membenarkan Lim diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang suri rumah Norzahana Mohamed Hassan, 36, mengaku tidak bersalah dihadapan Hakim Azrul atas pertuduhan menerima deposit berjumlah RM111,250 daripada seorang wanita Syahida Abdul Samad, 39, tanpa lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Puchong pada 7 April hingga 9 Nov 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak lebih RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan menawarkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Ahmad Sobir Ahmad Zakir yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya tidak mempunyai pendapatan selain baru melahirkan anak.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
-- BERNAMA