Perdana Menteri zahir ucapan takziah kepada keluarga Tun Salleh Abas
Firdaus Azil
Januari 16, 2021 13:37 MYT
Januari 16, 2021 13:37 MYT
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada keluarga Tun Dr Mohamed Salleh Abas atas pemergian Allahyarham, awal hari ini.
Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, Perdana Menteri berkata, sumbangan Allahyarham sebagai Ketua Hakim Negara akan terus dikenang.
“Saya ingin menzahirkan rasa sedih atas pemergian Tun Dr Mohamed Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara yang telah kembali ke rahmatullah awal pagi tadi.
“Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham atas kehilangan orang tersayang. Semoga mereka tabah menghadapi detik yang mendukacitakan ini.
“Bagi pihak kerajaan, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan Allahyarham dalam memperkasa dan mengangkat integriti institusi kehakiman sepanjang berkhidmat selaku Ketua Hakim Negara pada tahun 1984 hingga 1988,” katanya lagi.
Mohamed Salleh, 91, menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, pada pukul 3.20 pagi.
#Muhyiddin Yassin
#Salleh Abas
#meninggal dunia
#Ketua Hakim Negara
#Perdana Menteri
#unit rawatan rapi
#COVID-19