Perdana Menteri ucap takziah kepada Anwar atas pemergian adik

Bernama
Mac 1, 2022 00:52 MYT
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson memaklumkan adiknya meninggal dunia pada usia 74 tahun di Hospital Selayang hari ini.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga atas pemergian adiknya, Rusli Ibrahim.
Ismail Sabri menyampaikan salam takziah itu menerusi hantaran di laman Twitter malam ini.
"Takziah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga atas pemergian adindanya, Tn Hj (Tuan Haji) Rusli Ibrahim. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah," katanya.
Allahyarham merupakan anak kelima daripada sembilan adik beradik.
Terdahulu menerusi laman Twitter, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson memaklumkan adiknya meninggal dunia pada usia 74 tahun di Hospital Selayang hari ini.
Difahamkan Allahyarham Rusli meninggal dunia akibat sakit tua pada kira-kira 2.20 petang selepas dirawat di Hospital Selayang sejak beberapa minggu lepas dan jenazah beliau dibawa ke Masjid Al-Ubudiah sebelum dikebumikan di tanah perkuburan sekitar Ampang malam ini.
-- BERNAMA
#ismail sabri yaakob #Anwar Ibrahim #adik lelaki #meninggal dunia
;