Perdana Menteri tiba di Madinah untuk ziarah
Najib Aroff
Mac 7, 2021 23:19 MYT
Mac 7, 2021 23:19 MYT
RIYADH: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, selamat tiba di Madinah pada pukul 5.50 petang waktu tempatan untuk melakukan ziarah.
Ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz itu disambut oleh Timbalan Gabenor Madinah, Putera Saud bin Khalid Al Faisal dan Duta Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Abd Razak Abdul Wahab.
Perdana Menteri dan isteri yang tiba dari Makkah setelah selesai mengerjakan umrah, akan berada di Madinah selama dua hari bermula hari ini bagi mengunjungi Masjid Nabawi dan menziarahi makam Nabi Muhammad S.A.W.
Beliau dan isteri dijadualkan berlepas ke Riyadh esok (8 Mac) bagi memulakan program rasmi di Istana Al-Yamamah pada 9 Mac ini.
Lawatan ke Arab Saudi ini merupakan sebahagian daripada rangka kerja lawatan rasmi enam hari ke Asia Barat, bagi memenuhi jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud.
Perdana Menteri seterusnya akan ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) untuk bertemu dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.
#Perdana Menteri
#Muhyiddin Yassin
#isteri
#Noorainee Abdul Rahman
#Madinah
#ziarah
#Timbalan Gabenor Madinah
#Putera Saud bin Khalid Al Faisal
#Makkah
#Arab Saudi