Perdana Menteri tiba di JPM selepas menghadap Agong

Umavathi Ramayah
Ogos 26, 2021 07:41 MYT
Ismail Sabri akan mengumumkan barisan Kabinet dalam masa terdekat. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Kenderaan membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat memasuki Jabatan Perdana Menteri pada pukul 3.37 petang.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bera itu menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz di Kuantan.
Difahamkan, beliau hadir ke istana tersebut bagi mempersembahkan cadangan barisan Kabinet.
BACA: YDP Agong terima sembah maklum senarai anggota Kabinet - Istana Negara
Pesawat yang dinaiki beliau dilaporkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang kira-kira pada pukul 2.45 petang.
Turut difahamkan, beliau akan mengumumkan barisan Kabinet dalam masa terdekat, paling lambat pada Ahad ini.
Berdasarkan kenyataannya sebelum ini, beliau memaklumkan senarai tersebut akan diumumkan minggu ini selepas mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah.
#Perdana Menteri #ismail sabri yaakob #Yang di-Pertuan Agong #Jabatan Perdana Menteri