Perdana Menteri terima kunjungan hormat rombongan dari Guangxi
Bernama
Februari 4, 2013 13:49 MYT
Februari 4, 2013 13:49 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima kunjungan hormat rombongan dari Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang di Putrajaya.
Rombongan yang diketuai Peng Qinghua, Setiausaha Jawatankuasa Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang Parti Komunis China (CPC) itu mengadakan perjumpaan selama 30 minit dengan perdana menteri.
Mereka membincangkan mengenai kemajuan pembangunan Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan Taman Perindustrian Qinzhou di China.
Najib turut menerima dram gangsa daripada rombongan itu. Dram gangsa itu membawa maksud kuasa, tuah dan berkat.
Anggota lain dalam delegasi itu termasuk Naib Gabenor Guangxi Lan Tianli, timbalan setiausaha agung pejabat jawatankuasa CPC Guangxi Lin Huaiyong, timbalan setiausaha agung kerajaan Guangxi Wei Ran, ketua pengarah pejabat hal ehwal luar Guangxi Li Wenjie, pengerusi Guangxi Beibu Gulf Port Group Ye Shixiang, dan Duta China ke Malaysia, Datuk Chai Xi.