Perdana Menteri sumbang 12 ekor lembu korban untuk UMNO Pekan

Bernama
September 2, 2017 08:54 MYT
Kira-kira 200 orang termasuk pemimpin sayap UMNO Pekan dan penduduk setempat hadir berganding bahu bergotong-royong melapah, memotong dan mengagihkan daging korban. - Gambar hiasan
Sebanyak 12 ekor lembu sumbangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikorbankan di kediaman beliau di Seri Kenangan, di sini hari ini.
Setiausaha UMNO Bahagian Pekan Datuk Ahmad Azmey Abu Talib berkata ia merupakan sebahagian kecil daripada 458 lembu yang disumbangkan oleh Perdana Menteri untuk dikorbankan di seluruh Parlimen Pekan termasuk menerusi surau, masjid, badan badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan kawasan itu.
"Tahun ini sambutan Aidiladha lebih meriah kerana kita (UMNO Bahagian Pekan) mendapat 12 ekor lembu disumbangkan Perdana Menteri, tahun lepas hanya lapan ekor sahaja.
"Bukan itu sahaja, malah masjid dan surau sekitar Pekan juga dapat penambahan bilangan lembu korban," katanya kepada pemberita selepas majlis ibadah korban anjuran UMNO Pekan di sini.
Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan Datuk Abu Bakar Harun dan Naib Ketua UMNO Bahagian Datuk Khairuddin Mahmud.
Katanya penambahan bilangan lembu korban itu bagi memastikan lebih ramai penduduk sekitar parlimen Pekan menerima sumbangan daging korban tahun ini.
Kira-kira 200 orang termasuk pemimpin sayap UMNO Pekan dan penduduk setempat hadir berganding bahu bergotong-royong melapah, memotong dan mengagihkan daging korban.
Selain UMNO Pekan, sebanyak 60 masjid, 166 surau, 33 agensi kerajaan dan NGO di Pekan turut menerima sumbangan Perdana Menteri untuk melaksanakan ibadah korban yang bermula semalam.
-- BERNAMA
#Ahmad Azmey Abu Talib #Aidiladha #korban #lembu #Najib Razak #Parlimen #Pekan #UMNO