Perdana Menteri solat sunat Aidiladha di Masjid Putra
Bernama
Jun 17, 2024 09:45 MYT
Jun 17, 2024 09:45 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 20,000 jemaah di Masjid Putra, di sini.
Perdana Menteri yang lengkap berbaju Melayu biru muda tiba bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 7.52 pagi, disambut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Seawal pukul 7 pagi, pekarangan Masjid Putra mula dipenuhi ribuan orang awam termasuk pelancong asing yang tidak melepaskan peluang untuk melihat suasana solat sunat Aidiladha.
Anwar kemudian bertakbir raya bersama jemaah sebelum menunaikan solat sunat Aidiladha yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Putra Salahuddin Ghozali.
Perdana Menteri turut mendengar bacaan khutbah Aidiladha bertajuk 'Aidiladha dan Kepedulian Sosial Kita' yang disampaikan Salahuddin.
Pengisian khutbah itu antara lain menyentuh mengenai ibadah yang disyariatkan dalam sambutan Aidiladha.
"Dengan ibadah korban yang dilakukan, sebahagiannya akan diberikan kepada umat Islam yang lain dan dengan itu ia mengajar tentang sikap cakna dan peduli pada orang di sekeliling dan melatih amalan bersedekah kepada orang yang memerlukan.
"Sikap peduli kita juga wajar kita tingkatkan terutama buat saudara-saudara kita di Palestin," kata Salahuddin.
Sebelum beredar, Anwar meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan jemaah yang hadir. - BERNAMA