Perdana Menteri setuju buka semula kes pembunuhan Altantuya
Irwan Muhammad Zain
Jun 20, 2018 20:05 MYT
Jun 20, 2018 20:05 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju agar siasatan kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu dibuka semula, kata peguam Ramkarpal Singh.
Namun, Ramkarpal berkata semua prosedur untuk siasatan semula untuk kes pembunuhan itu perlu mematuhi undang-undang.
Katanya, Perdana Menteri telah mengarahkan agar semua bukti kukuh dibentangkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut
""Kami telah terangkan kepada Dr Mahathir mengenai kes tersebut dan beliau bersetuju bahawa kes ini perlu dibuka semula dan ia perlu mengikut undang-undang," katanya selepas mengiringi bapa Altantuya, Setev Shaariibuu bertemu Dr Mahathir di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Setev tiba di Putrajaya kira-kira pukul 4.20 petang dan keluar dari Pejabat Perdana Menteri sekitar jam 6.00 petang.
Mengulas lanjut, ahli parlimen Bukit Gelugor itu berkata, pihaknya percaya ada pihak lain yang terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya terutamanya orang yang mengarahkannya dan pihaknya berharap penyelesaian itu dapat dijalankan dalam masa terdekat
“Siapa yang arahkan pembunuhan ini perlu dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.
“Tiada jangka masa dibuat tapi kami harap ianya tak mengambil masa yang terlalu lama mungkin antara 3 hingga 6 bulan,” katanya.
Ramkarpal juga berkata terdapat kemungkinan bukti identiti individu yang mengarahkan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu sudah diketahui.
“Ada kemungkinan bukti identiti individu yang mengarahkan pembunuhan itu sudah diketahui dan sudah ada dalam siasatan polis sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Setev berkata beliau sangat berbesar hati kerana berpeluang bertemu dengan Dr Mahathir dan membincangkan secara lebih jelas mengenai isu membabitkan pembunuhan anaknya itu.
“Saya berpeluang untuk mengadakan pertemuan dengan perdana menteri dan saya amat berpuas hati dengan pertemuan ini,” katanya.
Altantuya, 28 tahun ditembak pada dan diletupkan menggunakan bahan letupan tentera di Kuala Lumpur, Oktober 2006.
Bekas komando polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar disabitkan bersalah atas pembunuhan itu pada 2009 dan dijatuhkan hukuman gantung.
Mereka dibebaskan setelah mahkamah rayuan menolak keputusan hakim Mahkamah Tinggi pada 2013.
Mahkamah persekutuan selepas itu mengekalkan hukuman mati terhadap mereka pada 2015.
Sirul melarikan diri ke Australia sementara Azhar kini sedang menunggu hukuman.
#Altantuya Shaariibuu
#Mahathir Mohamad
#Malaysia Baharu
#model
#Mongolia
#Pembunuhan
#Ramkarpal Singh