Perdana Menteri sertai aktiviti 'My Beautiful Malaysia' di Kampung Taman Medan

Bernama
Februari 3, 2013 11:54 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meluangkan masa memeriahkan beberapa aktiviti sempena pelancaran My Beautiful Malaysia bersama penduduk di Kampung Taman Medan di sini.
Ketibaan Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor pada pukul 9 pagi di Padang Taman Medan Cahaya disambut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai serta Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa serta penduduk setempat.
Najib turut bersarapan bersama pemimpin Umno dan Barisan Nasional Selangor sebelum menyusun bata di Surau At-Taufiqiyyah bagi projek pembinaan bangunan tambahan surau itu.
Perdana Menteri turut menyertai acara gotong royong mengecat bangunan Sekolah Menengah Taman Medan bersama warga tempatan Kampung Medan selain menanam pokok buah-buahan di kawasan tapak acara bersama sukarelawan My Beautiful Malaysia.
Dalam acara berasingan, Rosmah melawat Tadika Kemas Mutiara di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Medan serta menyertai aktiviti bersama kanak-kanak pintar, aktiviti menyusun puzzle dan mewarna dan aktiviti kraftangan orang dewasa.
#IM4U #My Beautiful Malaysia #najib #sukarelawan
;