Perdana Menteri selesai menghadap YDP Agong

Hasimi Muhamad
Jun 15, 2021 15:50 MYT
Kenderaan yang membawa Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar dari Pintu 1 Istana Negara sekitar 3.30 petang tadi. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR : Kenderaan yang membawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat keluar dari Pintu 1 Istana Negara sekitar 3.30 petang tadi.
Ia selepas kira-kira satu jam Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) itu menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sebelum itu, Perdana Menteri memasuki pintu 1 Istana Negara diiringi polis pengiring sekitar pukul 2.20 petang.
Ini merupakan sembah maklum kedua Perdana Menteri dalam tempoh seminggu selepas kali terakhir adalah pada Rabu lalu.
Bagaimanapun, sesi menghadap berkenaan merupakan rutin mingguan Al-Sultan Abdullah memberi perkenan kepada Perdana Menteri bagi mesyuarat Pra-Kabinet.
Difahamkan, sesi sembah maklum hari ini berkemungkinan ada kaitan dengan Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu yang dijadualkan berlangsung di Istana Negara, pada Rabu (esok).
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, perbincangan atas inisiatif Al-Sultan Abdullah itu berkaitan dengan usaha memerangi penularan jangkitan wabak COVID-19 dan pelaksanaannya ketika tempoh darurat.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri dijadualkan menyampaikan Perutusan Khas: Pelan Pemulihan Negara pada pukul 5 petang ini.
Astro AWANI akan menyiarkan secara langsung perutusan khas tersebut di semua platform digital.
#Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #Istana Negara #YDP #Agong #Yang di-Pertuan Agong #Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #COVID-19 #pandemik #rakyat Malaysia