Perdana Menteri sangat menjaga hubungan dengan institusi diraja - Annuar Musa
Astro Awani
Ogos 4, 2021 21:07 MYT
Ogos 4, 2021 21:07 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai individu yang sangat menjaga hubungan dengan institusi diraja.
Justeru, kata Annuar, tuduhan derhaka yang dilemparkan kepada beliau sangat tidak relevan dan tidak patut dibangkitkan sama sekali.
"Menjadi amalan Perdana Menteri memulakan setiap mesyuarat Kabinet dengan menyampaikan titah dan pandangan Yang Di-Pertuan Agong. Baginda banyak memberi pandangan dan ia sentiasa diterima pakai oleh Kerajaan.
"Perdana Menteri juga mempunyai menteri-menteri berpengalaman dalam Kabinetnya. Tidak sedikit dalam kalangan anggota Kabinet yang mempunyai hubungan yang amat baik dengan istana," tulis Annuar dalam satu hantaran di Facebook.
Tambah Annuar, Muhyiddin bukan nama baharu dalam politik dan pastinya beliau amat memahami selok-belok dan kepentingan hubungan baik dengan istana.
"Pihak yang ingin melabel Perdana Menteri sebagai derhaka atau pura-pura memihak kepada Yang di-Pertuan Agong, sebenarnya unjuk dan sembah setia yang tidak kena pada tempatnya. Ia suatu kepura-puraan politik, dan ia tidak diperlukan oleh Istana.
"Hubungan yang amat baik itu membolehkan setiap permasalahan dihadapi, dipandu, dinasihati dan diberi perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"Baginda kekal apolitical. Kekal memerintah dengan adil dan saksama," kata Annuar.
Pada Rabu, Perdana Menteri menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara bahawa sejumlah Surat Akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat, yang menurut dirinya masih mempunyai sokongan majoriti.
Jelas Perdana Menteri lagi, Agong telah berkenan untuk beliau menentukan keabsahannya di Parlimen melalui undi percaya pada September ini.
#Muhyiddin Yassin
#Annuar Musa
#Yang di-Pertuan Agong
#Perdana Menteri
#kabinet
#Istana Negara
#Tan Sri Annuar Musa