Perdana Menteri sambut ketibaan Sultan Brunei ke Malaysia
Firdaus Azil
November 28, 2022 12:58 MYT
November 28, 2022 12:58 MYT
SUBANG: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah tiba di Pangkalan Tentera Udara Malaysia, Subang pada pukul 11.45 pagi ini, dalam siri lawatan khas baginda ke Malaysia.
Keberangkatan tiba Sultan Hassanal Bolkiah yang diiringi Pengiran Muda Abdul Mateen serta pegawai kanan kerajaan Brunei disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Sebaik tiba, baginda memandu sebuah kenderaan yang disediakan khas dengan Anwar duduk di sebelahnya, sebelum menuju keluar dari Pangkalan TUDM.
Sultan Brunei dan Perdana Menteri tiba di Kompleks Seri Perdana sekitar pukul 12.25 tengah hari.
Dalam satu kenyataan, Wisma Putra berkata, ini merupakan pertemuan julung kali antara kedua-dua pemimpin itu selepas Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 November lalu.
“Lawatan terakhir Paduka Seri Baginda ke Kuala Lumpur adalah pada 4 hingga 6 Mac 2019 lalu untuk menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-22 antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.
“Malaysia dan Negara Brunei Darussalam mempunyai hubungan istimewa yang telah lama terjalin melalui persamaan warisan, budaya dan hubungan sesama insan.
“Bertitik tolak daripada hubungan istimewa ini, kedua-dua pemimpin akan mengambil peluang semasa lawatan tersebut untuk menilai kemajuan kerjasama sedia ada di samping meneroka potensi-potensi baharu bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara,” menurut kenyataan itu lagi.
Wisma Putra berkata, Anwar akan turut meraikan Sultan Hassanal Bolkiah serta rombongan dalam majlis santapan Tengah hari.
Menurut Wisma Putra lagi, pada 2021, Brunei merupakan rakan dagangan ke-30 terbesar Malaysia dan keenam terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah RM8.03 bilion (AS$1.94 bilion).