Perdana Menteri saksikan pertemuan perniagaan antara syarikat Malaysia, Turkiye

Firdaus Azil
Julai 6, 2022 15:52 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadiri pertemuan perniagaan, melibatkan syarikat gergasi dan terkemuka dari Malaysia dan Turkiye. - Gambar Twitter AZMIN ALI
ISTANBUL: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini telah menghadiri pertemuan perniagaan, melibatkan syarikat gergasi dan terkemuka dari Malaysia dan Turkiye.
Ia merupakan sebahagian daripada jadual Perdana Menteri, sepanjang lawatan rasmi empat hari beliau ke negara tersebut.
Dalam ciapan terbaharu di Twitter rasminya, Perdana Menteri berkata, Boustead Holdings Bhd (Boustead) telah berbincang dengan OYAK bagi menerokai peluang perdagangan komoditi dua hala, dengan fokus kepada sekuriti makanan.

Menghadiri sesi pertemuan perniagaan melibatkan syarikat-syarikat gergasi Malaysia dengan syarikat-syarikat terkemuka Turkiye. pic.twitter.com/XEI0u6szES

— Ismail Sabri (@IsmailSabri60) July 6, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Melihat Turkiye sebagai negara pengeluar gandum terbesar dunia, Ismail Sabri berkata, ia merupakan sebahagian usaha kerajaan bagi memastikan sekuriti bekalan makanan kepada Keluarga Malaysia.
Selain Boustead, Perdana Menteri berkata, syarikat-syarikat terkemuka lain yang mengadakan perundingan pelaburan termasuklah Khazanah Nasional Berhad, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Silterra Malaysia Sdn Bhd, dan juga Malaysian Industry-Government Group For High Technology (Might).
Perundingan tersebut, jelasnya lagi, bertujuan menarik peluang-peluang pelaburan dari syarikat Turkiye ke Malaysia dan juga menerokai usaha sama kedua-dua negara dalam pelbagai bidang, termasuk teknologi perbankan digital dan kewangan Islam.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, beliau juga telah menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman antara Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan Karadeniz Technical University (KTU); dan UMK dengan Karabuk University (Unika).
Selain itu, beliau berkata, terdapat juga pemeteraian dokumen persefahaman antara Boustead dengan Great East Capital Bigli Teknologi Yatirimlari (GEC).
#ismail sabri yaakob #Perdana Menteri #lawatan rasmi #Turkiye
;