Perdana Menteri Perancis diberi sambutan rasmi
Bernama
Julai 29, 2013 11:53 MYT
Julai 29, 2013 11:53 MYT
Perdana Menteri Perancis Jean-Marc Ayrault yang mengadakan lawatan rasmi dua hari ke negara ini bermula semalam, diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana di sini hari ini.
Ketibaan beliau di Bangunan Perdana Putra pada 9.30 pagi disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, menteri-menteri kabinet, duta-duta serta pegawai kanan kerajaan.
Sejurus ketibaan beliau, lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan. Ayrault kemudian memeriksa kawalan kehormat yang terdiri daripada 103 anggota dan pegawai daripada Batalion 1 Rejimen Askar Melayu Diraja.
Usai sambutan, kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan tertutup yang dijangka membincangkan hubungan dua hala serta perkara yang membabitkan kepentingan bersama kedua-dua negara.
Kali terakhir Perdana Menteri Perancis mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia ialah pada 1982 iaitu Pierre Mauroy.
Kunjungan ini merupakan sebahagian daripada lawatan serantau tiga negara Ayrault, termasuk New Caledonia dan Korea Selatan, bagi mempertingkat serta memperluas kerjasama dalam bidang baharu dan sedia ada.
Lawatan Ayrault ke Malaysia merupakan penegasan komitmen kerajaan Perancis di bawah pentadbiran Presiden Francois Hollande bagi memperkukuh hubungan politik kedua-dua negara.
Selain pertemuan dengan Najib, Ayrault dijadual merasmikan majlis pecah tanah projek pelaburan Perancis bernilai RM399.6 juta di Sendayan TechValley, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan.
Beliau juga dijangka berucap pada Forum Ekonomi Malaysia-Perancis anjuran kedutaan negara itu di sini dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Perancis.