Perdana Menteri mahu projek pembesaran LTAPP dipercepatkan
Bernama
Februari 16, 2024 22:06 MYT
Februari 16, 2024 22:06 MYT
PERMATANG PAUH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan supaya projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas dipercepatkan, disebabkan keperluan mendesak susulan peningkatan jumlah pelancong ke negeri itu.
Beliau berkata Pulau Pinang kini menjadi satu tarikan pelancongan yang sangat berjaya menyebabkan lapangan terbang itu mengalami kesesakan, sekali gus menjadi antara faktor kerajaan bersetuju untuk memperbesarkannya.
"Ini memerlukan kajian dan perancangan. Kalau ikut perancangan Kerajaan Persekutuan ia akan bermula akhir tahun ini," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Pengukuhan Kesalinghubungan dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang di Politeknik Seberang Perai, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Berikutan itu, katanya beliau akan mendapatkan laporan dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan sama ada projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) boleh dipercepatkan.
Sementara itu, Anwar berkata kerajaan bercadang untuk menambah 186 lagi Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di seluruh negara secara berperingkat, menjadikan jumlah keseluruhannya 1,097 PEDi berbanding 911 ketika ini.
Beliau berkata transformasi digital merupakan antara agenda penting ekonomi MADANI dan sekiranya negara hendak menjadi lebih maju, tahap penguasaan ilmu dalam bidang-bidang baharu harus segera dikuasai rakyat.
"Sekarang alhamdulillah, keadaan kita memungkinan pemusatan perhatian sepenuhnya terhadap pembangunan ekonomi dan transformasi digital.
"Soal digital kalau kita tidak lakukan dengan baik akan menyebabkan berlaku kesenjangan antara golongan terpinggir dan masyarakat bandar, antara orang kaya, golongan elit dan rakyat kebanyakan," katanya.
Justeru beliau menggesa jentera kerajaan merangkumi pelbagai jabatan untuk bekerjasama menyelesaikan isu-isu berkaitan pembangunan dan kecerdikan digital di negara ini.
-- BERNAMA
#projek pembesaran LTAPP
#Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang
#pelancong
#Perdana Menteri Anwar Ibrahim