Perdana Menteri luang masa lawat pusat peningkatan kemahiran dan latihan semula
Hasimi Muhamad
Januari 7, 2021 16:50 MYT
Januari 7, 2021 16:50 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri hari ini hadir melawat Pusat Peningkatan Kemahiran dan Latihan Semula atau 'reskilling and upskilling' di SG Academy, di sini.
Dalam lawatan tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa hampir satu jam bersama pelajar dan mereka yang kehilangan pekerjaan.
Turut mengiringi Perdana Menteri adalah Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dan Ketua Pegawai Eksekutif SG Education Group (SGEG), Datuk Seri Ganes.
Antara bidang kemahiran yang dilawati Perdana Menteri termasuk seni kulinari; makmal pemprosesan data dron; serta simulasi dron.
Setakat ini, SGEG yang bekerjasama dengan pemain industri seperti Asia Drone telah berjaya melatih lebih 70 peserta di bawah inisiatif Penjana Kerjaya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Sementara, di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF), seramai 80 peserta telah dilatih dan kesemua mereka berjaya mendapat pekerjaan.
Antara program yang disediakan meliputi Program Khas Reskilling Kategori Pemberhentian Kerja termasuk latihan dron, kejuruteraan, serta khidmat pelanggan.