Perdana Menteri luang masa lawat lima beradik kehilangan ibu bapa akibat COVID-19
Astro Awani
Oktober 16, 2021 19:31 MYT
Oktober 16, 2021 19:31 MYT
KUALA LUMPUR: Dalam kesibukan mentadbir negara, namun, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluangkan masa melawat lima beradik yang kehilangan ibu dan bapa mereka akibat COVID-19 di Kota Perdana, Seri Kembangan pada Sabtu.
Menurut Perdana Menteri, lima saudara kandung itu Hadrami yang berusia 11 tahun, Humaira (9), Harraz (8), Hawwas (6) dan Humaira (3) kini dijaga secara bergilir-gilir oleh datuk, nenek, bapa dan ibu saudara mereka.
"Betapa besar dugaan yang dilalui oleh Hadrami dan adik-adiknya di usia yang amat muda. Hanya Allah SWT yang mengetahui.
"Terima kasih kepada seluruh ahli keluarga, kementerian, agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta serta masyarakat yang membantu.
"Semoga dengan usaha murni ini dapat membantu Hadrami dan adik-adiknya dengan semangat Keluarga Malaysia," kata Perdana Menteri dalam hantaran di Facebooknya.
Sehubungan itu, Ismail Sabri berharap usaha murni semua pihak dapat membantu Hadrami dan adik-adiknya dengan semangat Keluarga Malaysia.