Perdana Menteri lawat Masjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi

Bernama
September 28, 2022 23:54 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (empat,kiri) semasa melawat Masjid Besar Sheikh Zayed, sempena lawatan beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Rabu. - Foto BERNAMA
ABU DHABI: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melawat Masjid Sheikh Zayed di sini, yang merupakan antara masjid terbesar di dunia.
Ketibaan Perdana Menteri disambut Ketua Pengarah Masjid Sheikh Zayed Dr Yousif Al Obeidli sebelum dibawa melawat masjid itu.
Ismail Sabri turut menunaikan solat di masjid itu yang memiliki rekod dunia bagi permaidani tenunan tangan dan candelier terbesar.
Beliau juga melawat Wahat Al-Karama, tugu peringatan untuk pejuang Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang syahid.
Beliau disambut oleh Pengarah Hal Ehwal Para Syuhada, Sheikh Khalifa bin Tahnon Al Nahyan.
Perdana Menteri tiba di ibu negara itu pada Isnin untuk lawatan kerja empat hari ke UAE.
Beliau melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan pada Isnin.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri #Masjid Sheikh Zayed #Abu Dhabi #masjid terbesar di dunia #Dr Yousif Al Obeidli #UAE
;