Perdana Menteri lancar semakan semula Dasar Kepelbagaian Biodiversiti Negara
Hilal Azmi
Februari 22, 2016 18:58 MYT
Februari 22, 2016 18:58 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Semakan Semula Dasar Kepelbagaian Biodiversiti Negara untuk tempoh 10 tahun akan datang.
Menurutnya, dasar tersebut penting untuk pembangunan mapan di samping meneruskan usaha pemuliharaan dalam keadaan yang seimbang.
Dasar yang menjadi panduan pengurusan biodiversiti ini membabitkan pelbagai pihak berkepentingan terutamanya dapatan daripada kajian saintis tempatan dan antarabangsa.
"Dasar yang disemak semula ini menunjukkan tanggungjawab Malaysia di bawah Konvensyen Kepelbagaian Biologi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan melaksanakan matlamat pembangunan mapan.
"Malah, ilmu sains boleh memberikan banyak jawapan kepada permasalahan berkaitan pembangunan mapan. Jadi, kita perlu ambil peluang kepakaran komuniti sains untuk memberikan pilihan dan memberikan situasi semasa agar pemimpin boleh merangka dasar berkaitan," katanya sewaktu berucap pada majlis pembukaan Sidang Plenari Keempat Platform Antara Kerajaan untuk Biodiversiti dan Perkhidmatan Ekosistem (Ipbes) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Timbalan Pengarah Eksekutif Program Alam Sekitar PBB (UNEP), Ibrahim Thiaw.