Perdana Menteri lancar Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu
Fareez Azman
September 18, 2019 15:48 MYT
September 18, 2019 15:48 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu mengumumkan empat prinsip utama dalam Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu.
Menurut Perdana Menteri, beberapa isu penting yang di bawa dalam ucapannya pada Sesi ke-73 Perhimpunan Agung PBB tahun lepas turut menjadi perhatian dalam kerangka berkenaan merangkumi prinsip demokrasi, kebebasan, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang.
“Malaysia meneruskan dasar asing yang bebas, berprinsip dan pragmatik, berasaskan nilai-nilai keamanan, kemanusiaan, keadilan dan kesaksamaan.
“Apa yang berubah adalah cara Malaysia mendekati isu-isu tertentu yang mempengaruhi minat kita. Oleh itu, tema Rangka Kerja ini adalah 'Perubahan Kesinambungan'.
"Ini akan menjadi hala tuju pelaksanaan dasar luar negeri kita,” kata Dr Mahathir selepas melancarkan Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu di Putrajaya.
Turut hadir Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan timbalannya, Datuk Marzuki Yahya.
“Saya perlu menekankan kepentingan kerjasama antara agensi dalam melaksanakan dasar yang dirumuskan oleh kerajaan.
"Saya dengan sukacitanya memaklumkan bahawa Rangka Kerja ini adalah hasil kajian dan penilaian menyeluruh dan komprehensif, termasuk perundingan dengan pelbagai pihak yang berminat,” kata Dr Mahathir lagi,
Rangka Kerja itu juga, jelas beliau, mengambil kira prinsip-prinsip kardinal seperti ketelusan, keterbukaan dan tadbir urus yang baik.
Malah Malaysia, jelasnya, amat prihatin pelanggaran multilateralisme seperti yang berlaku di Kashmir dan Palestin.
Justeru, Malaysia akan mengemukakan protes secara terbuka.