Perdana Menteri lancar inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia esok

Bernama
September 2, 2022 19:15 MYT
Setiap penerima bakal mendapat Tablet Samsung model terkini, lengkap dengan pelindung, papan kekunci dan stylus pen. - Gambar/ FB Annuar Musa
KUALA LUMPUR: PerantiSiswa Keluarga Malaysia akan diedarkan kepada penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang terpilih esok, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan melancarkan Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia itu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor pada 2.30 petang esok.
"Setiap penerima bakal mendapat Tablet Samsung model terkini, lengkap dengan casing (pelindung), keyboard (papan kekunci) dan stylus pen. Tahniah kepada yang terpilih," katanya menerusi hantaran dalam Facebooknya dan turut memuat naik beberapa keping gambar peranti berkenaan.
Sebelum ini, Annuar dilaporkan berkata dijangka 60,000 pelajar akan menerima manfaat dan permohonan yang dibuka secara dalam talian sejak 15 April hingga 15 Mei lepas bagi fasa pertama telah menerima kira-kira 100,000 permohonan.
Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia adalah inisiatif kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih untuk membekalkan sebuah peranti tablet kepada setiap pelajar B40 di IPT.
Tablet jenama Samsung telah dipilih sebagai pemenang tender bagi program berkenaan untuk membekalkan peranti itu mengikut lima zon iaitu Zon Sabah dan Sarawak, Zon Utara, Zon Tengah, Zon Timur dan Zon Selatan.
-- BERNAMA
#PerantiSiswa #Perdana Menteri #tablet samsung #jenis peranti
;