Perdana Menteri janji beri perhatian isu monopoli Touch 'n Go

Astro Awani
Mac 19, 2023 17:35 MYT
Anwar turut memberi jaminan kerajaan akan terus melindungi hak bersuara rakyat selagi tidak menyentuh soal kaum dan agama serta memecah belahkan masyarakat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan memberi perhatian terhadap perkara yang dibangkitkan berkaitan Touch 'n Go termasuk isu monopoli.
Beliau menjawab pertayaan salah seorang peserta program Temu Anwar yang bertanya sama ada kerajaan berhasrat untuk menamatkan monopoli syarikat berkenaan.
"Touch 'n Go telah beroperasi selama lebih dua dekad dan sistem yang digunakan tidak ada sebarang progress dalam perkara itu.
"Jadi saya rasa benar, kita perlu pertimbangkan perkara itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Temu Anwar yang didakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Di majlis itu juga, Anwar turut memberi jaminan kerajaan akan terus melindungi hak bersuara rakyat selagi tidak menyentuh soal kaum dan agama serta memecah belahkan masyarakat.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak akan bertindak ke atas sesiapa pun kerana memberi pandangan.
Pada sesi soal jawab terbuka itu, lebih 8,000 belia diberi peluang untuk bertanya terus kepada Anwar bagi mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan pemerkasaan belia.
#Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #Touch 'n Go #monopoli
;