Perdana Menteri hadiri konsert Akiko Suwanai bersama MPO

Bernama
Februari 13, 2019 06:24 MYT
Dr Mahathir disambut Makio (dua, kiri) dan Wan Zulkiflee (kiri) ketika tiba di perkarangan Menara Berkembar Petronas bagi menyaksikan persembahan Akiko Suwanai bersama MPO di Kuala Lumpur, 13 Feb, 2019. --fotoBERNAMA
Persembahan 'The Romantic Violin' oleh pemain biola tersohor dari Jepun, Akiko Suwanai bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) berjaya memukau kira-kira 800 penonton di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), pada Rabu.
Ini merupakan persembahan kedua Suwanai bersama MPO sejak 2008. Suwanai adalah pemenang termuda di Pertandingan Antarabangsa Tchaikovsky pada 1990. Beliau juga telah bekerjasama dengan ramai konduktor dan orkestra simfoni tersohor di serata dunia.
Konsert anjuran MPO dengan kerjasama Kedutaan Jepun di Malaysia itu, turut dihadiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang juga penaung MPO.
Konsert istimewa itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan di antara kedua-dua negara dari segi muzik.
Menariknya, konsert satu malam ini dihiasi dengan empat muzik klasikal simfoni karya agung ciptaan Mozart, Haydn, Brahms dan Sarasate yang dipimpin Alexander Briger dari Australia.
Terdahulu, Dr Mahathir yang mengenakan kemeja putih dan berkot coklat cair tiba pada kira-kira 8.40 malam dengan diiringi isteri, disambut oleh Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin serta Ketua Pegawai Eksekutif MPO DFP, Sareen Risham.
-- BERNAMA
#Akiko Suwanai #Dewan Filharmonik Petronas #konsert #Mahathir Mohamad #MPO #Orkestra Filharmonik Malaysia #pemain biola #Perdana Menteri
;