Perdana Menteri gesa KPM lihat semula sistem prasekolah

Sinar Harian
Januari 22, 2024 14:40 MYT
Menurut Anwar, dalam soal keadilan terhadap sistem prasekolah, wujud kesenjangan antara kota dan desa serta pedalaman. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu sistem pendidikan prasekolah di negara ini dilihat semula dengan memastikan kemudahan tambahan diberi perhatian.
Menurutnya, Malaysia agak ketinggalan dalam soal menyediakan beberapa kemudahan termasuk kategori digital bagi prasekolah.
"Soal infra digital, soal kurikulum masa depan prasekolah, dalam semua kategori ini kita agak ketinggalan.
"Sebab itu saya gesa, Menteri Pendidikan baharu (Fadhlina Sidek) lihat semula sistem prasekolah," katanya ketika berucap merasmikan Wacana Pemikir Global 2024 bertemakan 'The Next 100 years: Vision 2100 for Malaysia', di Universiti Malaya (UM), di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, tambah Anwar, dalam soal keadilan terhadap sistem prasekolah, wujud kesenjangan antara kota dan desa serta pedalaman.
Justeru, katanya menerusi Belanjawan Madani 2024 yang memberikan peruntukan terbesar dalam bidang pendidikan, ia perlu bermula dengan asas.
"Kalau kita katakan 80 peratus sahaja yang masuk prasekolah dengan kategori berbeza...mungkin 40 peratus baik selainnya itu agak pertengahan dan sekitar 20 peratus amat lemah. Maknanya tak sampai 50 peratus.
"Maknanya kita dalam bicarakan soal keadilan, kita sebenarnya melebarkan kesenjangan antara kota dan desa, kaya kota dan miskin kota, serta desa dan pedalaman," katanya. - Sinar Harian
#Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #prasekolah #kaji semula
;