Perdana Menteri Ethiopia diberikan sambutan rasmi di Perdana Putra

Bernama
Oktober 26, 2024 11:00 MYT
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan rakan sejawatannya dari Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali, yang sedang dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan beliau pada pukul 9.30 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Abiy kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada 103 anggota dan tiga pegawai dari Batalion Pertama Rejimen Melayu Diraja.
Beliau tiba di Malaysia semalam untuk mengadakan lawatan sulungnya sejak mengambil alih jawatan pada April 2018.
Turut hadir pada majlis sambutan itu adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, diplomat asing serta pegawai kanan kerajaan.
Abiy dan Anwar kemudian mengadakan pertemuan empat mata di Seri Perdana bagi membincangkan hubungan dua hala dan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Perbincangan dijangka akan memfokuskan kepada perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, industri halal, pembangunan lestari, kesihatan, pelancongan, dan pendidikan.
Satu sidang media bersama akan diadakan selepas mesyuarat dua hala itu.
Abiy, yang disertai Wanita Pertama, Zinash Tayachew Bere dan delegasinya, tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 8.30 pagi semalam.
Ethiopia merupakan rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada tahun 2023 dengan imbangan dagangan berpihak kepada Malaysia.
Perdagangan antara Malaysia dan Ethiopia direkodkan pada RM446.8 juta, dengan eksport Malaysia ke Ethiopia bernilai RM358.6 juta, mencatatkan peningkatan sebanyak 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Produk yang dieksport Malaysia ke Ethiopia termasuk elektrik dan elektronik, minyak sawit serta barangan pertanian berasaskan minyak sawit, bahan kimia dan produk berasaskan bahan kimia, serta tekstil, pakaian, dan kasut. - BERNAMA
#perdana menteri ethiopia #Dr Abiy Ahmed Ali #lawatan rasmi #PM Anwar Ibrahim
;