Perdana Menteri, dengarlah rintihan penyewa bumiputera di sini - Peniaga Plaza BB
Wan Syamsul Amly
Oktober 30, 2014 12:59 MYT
Oktober 30, 2014 12:59 MYT
Notis UDA Holdings Bhd (UDA) kepada semua penyewa di Plaza Bukit Bintang (Plaza BB) untuk keluar sebelum akhir tahun ini benar-benar mengejutkan semua peniaga di situ.
Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Bukit Bintang Plaza Kuala Lumpur (PPPBBPKL), Hassan Saad berkata, notis perlu keluar sebelum 31 Disember ini yang diedar kepada penyewa pada 23 Oktober lepas dilihat tidak sepatutnya dikeluarkan.
"Kami gelabah dan berkeras tidak mahu keluar. Alasan yang diberi tidak boleh diterima.
"Kami tidak diberi apa-apa pampasan, kami sepakat mahu melantik peguam dan mahu berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengadu nasib," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Notis penutupan Plaza BB pada akhir tahun ini yang dihantar kepada semua penyewa di situ - Gambar Astro AWANI
Sebelum ini Hassan dan lebih 50 penyewa Plaza BB mengadakan piket aman di hadapan ibu pejabat UDA bagi menyuarakan harapan agar nasib peniaga di pusat beli-belah tersebut terbela.
Hassan sebelum ini turut mendakwa UDA mungkir janji apabila meminta peniaga mengosongkan tapak perniagaan mereka sebelum penghujung tahun ini.
Tambahnya, hak mereka untuk bertemu dan berbincang dengan pengurusan tertinggi UDA selama ini terus dinafikan.
Bagaimanapun Pengerusi UDA, Datuk Johari Abdul Ghani menyifatkan kenyataan penyewa di Plaza BB itu terlalu mementingkan diri sehingga sanggup mengenepikan pembangunan di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, kenyataan Johari yang memberitahu peniaga tidak 'dihalau' turut dikatakan Hassan bercanggah dengan realiti sebenar.
UDA juga dalam kenyataan medianya pernah memaklumkan akan membina semula BB Plaza bersama syarikat Tradewinds selaras dengan kemajuan bandar dan ekonomi.
Kata kenyataan itu, pembangunan persekitaran BB Plaza di masa kini sedang mengalami evolusi yang drastik sehingga mentransformasi lanskap kawasan persekitaran menjadi kawasan yang ultra-moden sesuai dengan gaya hidup.
Sementara itu, Johari ketika dihubungi memberitahu penyewa di Plaza BB perlu berpindah untuk pembangunan kawasan itu setaraf lokasi berkenaan.
"Kena pindah untuk pembangunan, kita kena beri laluan kepada pembinaan Stesen MRT di sana.
"Keputusan yang dibuat oleh UDA untuk membangun semula Plaza BB adalah demi kepentingan peniaga bumiputera akan datang.
"Ramai yang sudah tidak mampu membayar sewa akibat kekurangan pelanggan," jelasnya.
Kata Johari lagi, Plaza BB juga masih tidak berubah dan berada di takuk lama dan perlu transformasi mengikut peredaran zaman.
"Lot 10, KL Plaza, Starhill sudah berubah wajah tetapi Plaza BB masih begitu. Pelanggan sekarang mempunyai citarasa yang berbeza.
"Notis pemindahan telah diberi, kita juga sudah beri melebihi apa yang diminta," ujarnya.
Sejak tahun lepas, peniaga di Plaza BB resah kerana perniagaan mereka telah terjejas sebanyak 80 peratus akibat pelaksanaan projek MRT.
Peniaga juga mengeluh kerana terpaksa melangsaikan sewa bulanan penuh kepada UDA meskipun berhadapan dengan kerugian.